Pelajar UiTM menang pertandingan dunia![]() ASNITA Hashim dan Raihana Md Saidi bersama Pengarah Urusan Kaspersky Lab Asia Limited, Gun Suk Ling selepas diumumkan menduduki tempat ketiga pertandingan menangani ancaman keselamatan komputer di Universiti Jagiellonian University, Krakow, Poland, baru-baru ini. KASPERSKY Lab, peneraju utama perisian keselamatan, buat kali pertama menganjurkan Persidangan Pelajar Antarabangsa yang turut disertai delagasi dari Asia di Universiti Jagiellonian University, Krakow, Poland, baru-baru ini. Lebih membanggakan meskipun baru kali pertama menyertai persidangan itu, pelajar kita dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Asnita Hashim dan Raihana Md Saidi berjaya mengatasi cabaran sengit pelajar dunia lain untuk meraih kedudukan ketiga dalam pertandingan yang dianjurkan ketika persidangan itu. Wakil Malaysia itu membentangkan kertas penyelidikan mereka ‘Normal Signature Based IDs for E-Café’ dan mendapat reaksi yang amat positif daripada panel pakar penilai. Menurut Asnita Hashim, kertas kerja penyeledikan itu mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan, bermula daripada merangka hingga kepada pembentangan pertama dalam saingan peringkat Malaysia sebelum akhirnya diperhalusi dan diperkemaskan untuk pertandingan peringkat akhir. Kertas kerja ini memperincikan bagaimana ancaman cecacing virus komputer boleh dikesan ketika ia merebak ke seluruh rangkaian dalam persekitaran khusus dan memantau sepanjang masa terhadap ancaman oleh penjenayah siber yang mahu mendapatkan mesej penting dan data termasuk maklumat peribadi dan sulit. “Anugerah yang diterima ini meningkatkan lagi semangat kami untuk melakukan lebih banyak penyelidikan baik dalam konteks Malaysia atau antarabangsa,” katanya. Menurutnya, wang tunai 1,000 Euro itu akan digunakan untuk melakukan penyelidikan baru. “Namun apa yang lebih penting adalah, penyertaan dan kemampuan membentangkan kertas kerja ini di persidangan antarabangsa yang berprestij seperti ini, memberikan kami segala pendedahan penting selain mendedahkan kepada kami terhadap apa yang perlu kita perbaiki,” kata Asnita. Persidangan pelajar `Keselamatan IT Untuk Generasi Masa Depan’ Kaspersky Lab menghimpunkan pemenang daripada tiga pusingan awal yang diadakan di Eropah, Asia, Russia dan Negara Komanwel Merdeka (CIS). Lebih daripada 100 pelajar dan profesor dari universiti terkemuka dunia mengambil bahagian dalam persidangan itu selain wakil dari ibu pejabat Kaspersky Lab dan pejabat serantau, media serta tetamu jemputan. Sebanyak 10 pasukan yang mewakili universiti United Kingdom, Russia, Malaysia, India dan Kazakhstan membentangkan hasil kerja mereka kepada panel yang dianggotai ahli akademik, profesor dan pakar Kaspersky Lab. Juara menerima 1,500 Euro manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing meraih 1,000 Euro serta peluang untuk mewakili institusi pengajian tinggi mereka di persidangan antarabangsa. Juara turut ditawarkan peluang menjadi pelatih di ibu pejabat kaspersky Lab selama sebulan dengan semua perbelanjaan ketika tempoh latihan itu ditanggung sepenuhnya. Pasukan yang bertanding, membentangkan hasil kajian masing-masing untuk dinilai dengan teliti oleh profesor dan pakar Kaspersky Lab. Penilaian dibuat berdasarkan prestasi pembentang mengikut kriteria tertentu seperti signifikasi sosial, kesesuaian projek, praktikaliti dan inovasi serta kemampuan membentangkan konsep dan idea dengan meyakinkan serta mampu memberikan jawapan terhadap segala soalan yang dikemukakan dengan memuaskan. Topik yang dibentangkan tertumpu kepada ancaman dan risiko keselamatan internet, kaedah mengesan serta keselamatan protokol dan undang-undang keselamatan siber. Sementara itu, Pengarah Urusan Kaspersky Lab Asia Limited bagi rantau Asia Pasifik, Gun Suk Ling berkata, kedudukan tempat ketiga teratas yang diraih pasukan Malaysia membuktikan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan mempunyai standard tinggi dan setaraf dengan pelajar antarabangsa lain berhubung aspek keselamatan siber. Beliau juga menjelaskan berikutan sambutan dan kejayaan persidangan pelajar antarabangsa yang turut disertai pelajar dari Asia, Kaspesky Lab sudah pun merancang untuk mengadakan lagi pertandingan peringkat Asia, namun kali ini akan diadakan secara besar-besaran. Katanya, persidangan ini menjadi satu platform sempurna untuk perniagaan, ahli sains dan ahli akademik merangka strategi lebih menyeluruh dalam menangani trend ancaman keselamatan siber, masalah yang timbul serta perubahan terkini konteks ancaman terhadap Internet. Ia juga menjadi medan penting untuk Kaspersky Lab mengenal pasti bakat baru. Berikutan itu, ujar Suk Ling, pihaknya akan menganjurkan Piala Asia dalam Persidangan Akademi Kaspersky Antarabangsa yang bertemakan`Keselamatan IT Untuk Generasi Akan Datang’ untuk memastikan kesinambungan program ini. Senarai pemenang Persidangan Pelajar Akademi Kaspersky Antarabangsa yang bertemakan `Keselamatan IT Untuk Generasi Akan Datang’ adalah seperti berikut: Nama Pelajar Tajuk Penyelidikan Hadiah Wang Tunai 1. Camilo Gonzalez Universiti Birmingham, UK Analysis of BitTorrent Peers; Behavior and Monitoring Trends 1,500 Euro & Peluang mengikuti latihan sebulan bersama Kaspersky Lab di Moscow 2. Dmitry Kovalev Universiti Novosibirsk State, Russia Ditionary-Based Spam Detection Methods 1,000 Euro 3. Asnita Hashim & Raihana Md Saidi Universiti Teknologi Mara, Malaysia Normal Signature Based IDs for E-Café 1,000 Euro 3. Niki Aikaterinaki Universiti Royal Holloway, London, UK Drive-By Download Attacks: Effects and Detection Methods 1,000 Euro Nota: Dua pemenang tempat ketiga. Pada persidangan itu, pelajar terbabit turut menghadiri bengkel bertajuk `Bagaimana Untuk Menjadi Pakar’ yang disampaikan oleh pakar Kaspersky Lab dari Pasukan Penyelidikan Global dan Analisis (GReAT). Anggota panel GReAT itu adalah Penganalis Malware, Ram Herkanaidu; Penyelidik Keselamatan Kanan, Stefan Tanase; Penganalisis Malware, Marta Janus dan Nicolas Brulez; Penyelidik Kanan Malware, Sergey Novikov dan Darya Gudkova selaku Ketua Analisis Kandungan dan Penyelidikan.
|





