Merasai suasana kehidupan kampus![]() HASAN Malek beramah mesra dengan pelajar-pelajar tingkatan empat yang mengikuti program Selangkah Ke Universiti di USIM, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini. TANGGUNGJAWAB sosial universiti dan masyarakat tidak terhad kepada program khidmat masyarakat oleh pelajar semata-mata. Sebaliknya institusi pengajian tinggi (IPT) juga boleh melaksanakan tanggungjawab itu dengan menganjurkan program kesedaran kepada pelajar sekolah luar bandar tentang suasana pembelajaran di universiti. Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI), Datin Sri Azlina Ahmad berkata, melalui program Selangkah Ke Universiti pelajar tingkatan empat yang tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah menuntut di IPT telah didedahkan dengan kehidupan sebenar di kampus. Beliau menjelaskan, program selama sehari dengan kerjasama Kementeria Pengajian Tinggi ini merupakan kali kedua diadakan. "April lalu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kali ini di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)," terang beliau. Menurut Azlina, seramai 210 pelajar dari Jelebu, Tampin dan Kuala Pilah yang berpotensi untuk berjaya dipilih mengikuti program ini. "Pendedahan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya ke menara gading," katanya. ![]() Peserta program Selangkah Ke Universiti melafazkan ikrar di USIM, Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini. Program ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek. Dalam ucapannya, Hasan menyifatkan bahawa program ini sangat bagus dan bermanfaat untuk mendorong pelajar memajukan diri dan melahirkan anak-anak yang berilmu serta berbudi bahasa. Di samping itu, ujarnya, peserta juga boleh mendapat maklumat yang lebih terperinci dalam bidang-bidang yang mereka minati khususnya pra syarat kemasukan. Antara aktiviti yang diadakan adalah ceramah Mengapa Mesti Ke Universiti oleh Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM, Profesor Dr. Jalani Sukaimi, sesi bersama Majlis Perwakilan Pelajar USIM dan lawatan sekitar kampus USIM. Salah seorang peserta, Mohd Arif Hanis Mohd Nasri memberitahu, dia amat teruja untuk menyambung pelajaran ke IPT awam selepas mengikuti program tersebut. ”Selain dapat menambah kenalan, saya juga memperolehi maklumat berkenaan universiti dan program-program yang ditawarkannya, sekali gus mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kelak”, kata pelajar dari Sekolah Menengah Agama Datuk Haji Tan Ahmad, Jelebu, Negeri Sembilan ini. Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Syed Idrus, Tampin, Siti Nor Shahida Othman pula berkata, program itu sangat bagus kerana banyak ilmu yang diperoleh di samping dapat melawat pelbagai tempat menarik di sekitar kampus USIM.
|






