Ke arah persekitaran pembelajaran maya![]() DR. Norrizan Razali (belakang, tiga dari kiri) meninjau pelaksanaan pengintegrasian ICT di sebuah sekolah di Dublin, Ireland baru-baru ini. TANPA disedari, separuh tahun sudah pun berlalu. Dalam masa separuh masa pertama ini, saya telah berpeluang untuk melawat sekolah-sekolah di luar negara dan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan seperjuangan di negara-negara tersebut. Di sini saya mengambil kesempatan untuk berkongsi dapatan lawatan dan perbincangan dengan menekankan perkara-perkara yang boleh dijadikan model pelaksanaan pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di peringkat sekolah di negara kita. Pengalaman hasil perbincangan dan lawatan ke sekolah-sekolah semasa di Hong Kong, Britain, Singapura, dan Ireland membangkitkan satu perkara utama yang dikongsi bersama oleh kesemua negara ini. Pelaksanaan pengintegrasian ICT di peringkat sekolah atau apa yang lebih dikenali sebagai persekitaran pembelajaran maya (virtual learning environment) adalah berasaskan dasar menyeluruh sekolah (whole school policy). ![]() SUASANA pembelajaran di sebuah kelas yang mengintegrasikan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran di Dublin, Ireland baru-baru ini. Di negara-negara tersebut, kepimpinan sekolah perlu memastikan yang bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran maya yang bermaksud pengintegrasian ICT bukan setakat di bilik darjah malah dalam kesemua aktiviti yang dialami olen semua warga sekolah termasuk ibu bapa, satu dasar menyeluruh tentang pengintegrasian ICT di peringkat sekolah adalah perlu. Ini bermakna, pengintegrasian ICT tidak tertumpu pada segelintir guru, aktiviti-aktiviti tertentu, atau hanya pada waktu sekolah dan di dalam kawasan sekolah sahaja. Keberkesanan pelaksanann persekitaran pembelajaran maya di sesebuah sekolah melibatkan kesemua warga sekolah serta ibu bapa, kesemua aktiviti, di dalam dan luar waktu sekolah, dan di dalam dan di luar kawasan sekolah. Oleh itu, dasar seperti whole school policy adalah amat penting. Pihak kepimpinan sekolah perlu melihat ICT sebagai enabler untuk kesemua aktiviti dan ahli. Penglibatan secara menyeluruh atau dasar menyeluruh sekolah untuk penggunaan ICT ini masih lagi merupakan kekangan di kebanyakkan sekolah. Satu contoh kekangan yang paling ketara yang dapat saya perhatikan adalah pengintegrasian ICT dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu pada masa sebelum musim peperiksaan sahaja. ICT seolah-olah seperti tidak boleh menyumbang ke arah usaha untuk menyediakan pelajar menghadapi peperiksaan. ICT sebagai enabler untuk pihak sekolah melalui proses innovasi penyampaian pendidikan di peringkat sekolah perlu dilihat secara menyeluruh. Beberapa langkah boleh dipertimbangkan oleh kepimpinan sekolah dalam usaha untuk membangunkan dasar menyeluruh sekolah bagi tujuan pelaksanaan persekitaran pembelajaran maya. Pertama, pentadbir sekolah perlu jelas tentang matlamat pelaksanaan persekitaran pembelajaran maya. Matlamat tersebut mestilah praktikal yang boleh dicapai dan boleh mengatasi masalah berhubung pembelajaran dan pengajaran. Contoh yang paling saya gemar yang saya dapati di sebuak sekolah di Singapura ialah perolehan papan putih interaktif (interactive white board) bagi tujuan meningkatkan tahap motivasi pelajar-pelajar bermasalah. Kedua, pelan pelaksanaan yang melibatkan kesemua warga, aktiviti, dan ibu bapa perlu dibangunkan. Ketiga, program peningkatan kemahiran perlu diatur untuk memastikan bukan guru yang berminat dan berkemahiran sahaja yang aktif dalam pelaksanaan. Keempat, pemantauan perlu dijalankan. Perlantikan pasukan yang boleh membantu dalam strategi pemantauan adalah mustahak agar pentadbir mendapat sokongan dan maklumbalas dari pengguna. Kelima, maklumbalas berhubung pelaksanaan patut dikumpulkan dan dinilai bagi tujuan pembaikan. Keenam, menilai semula pelan berdasarkan maklumbalas dan memperbaiki strategi pelaksanaan. Jelas sekali, peranan kepimpinan sekolah adalah penting dalam memastikan kejayaan dasar menyeluruh sekolah bagi program persekitan pembelajaran maya. Saya juga peka terhadap sekolah-sekolah di negara ini yang telah pun melaksanakan perancangan dasar pengintegrasian ICT secara menyeluruh di sekolah. Namun, saya juga berkeyakinan yang sekolah-sekolah tersebut mampu menjadi contoh untuk sekolah-sekolah lain. Kerjasama antara sekolah-sekolah boleh membantu ke arah meningkatkan lagi jumlah sekolah yang melaksanakan program perintegrasian ICT yang menyeluruh.
|






