AKTIVITI
Program PINTAR TNB

Program PINTAR TNB


PESERTA program PINTAR TNB mengabadikan kenangan selepas melawat Stesen Jana Elektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

TENAGA Nasional Berhad (TNB) membantu pembangunan modal insan di negara ini dengan memberi pendedahan dan pengalaman pembelajaran melalui suasana dan keadaan persekitaran sebenar yang boleh membuka minda murid-murid di samping menambah ilmu pengetahuan.

Justeru, seramai 97 murid dari sekolah angkatnya - Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Muhibbah, Kulai, Johor dan SK Kg. Gelam, Port Dickson, Negeri Sembilan - dibawa melawat ke Stesen Jana Elektrik Tuanku Jaafar di Port Dickson Negeri Sembilan.

Selain taklimat mengenai cara-cara penjanaan tenaga, peserta lawatan turut diberi suntikan semangat oleh penceramah Program Motivasi Utusan, Dr. Ismail Zain.

Ia merupakan sebahagian daripada pengisian program PINTAR - Promoting Intellingence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility yang bermaksud ‘Menggalak Kecerdasan, Memupuk Bakat dan Menyokong Kebertanggungjawaban’.

TNB mempunyai 27 sekolah angkat di bawah program PINTAR di seluruh negara kecuali di Sabah dan Sarawak.

PINTAR diwujudkan bertujuan membantu meningkatkan pencapaian kanak-kanak sekolah terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah supaya mereka berjaya dalam lapangan akademik seterusnya mampu mengubah kehidupan sosial dan ekonomi mereka kelak.

Program PINTAR merupakan satu program kolaborasi tanggungjawab sosial dalam kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dicetuskan oleh Khazanah Nasional Berhad.

Sementara itu, peserta yang ditemui melahirkan rasa puas hati dan bersyukur kerana dapat mengikuti program yang bermanfaat tersebut.

Mohamad Haziq Aiman Mohamad, pelajar tahun 6 dari SK Kg. Gelam, berasa bangga terpilih menyertai program ini kerana dapat meningkatkan keyakinan diri melalui ceramah Dr. Ismail Zain.

Wakil negeri dalam acara olahraga 80 m lari berpagar ini kini semakin bijak untuk menguruskan masa melalui teknik yang diberikan penceramah.

Rakanya Nadiah Hamadi memberitahu, walaupun program ini singkat tetapi melalui lawatan, taklimat daripada pegawai TNB serta ceramah motivasi telah memberi satu suntikan semangat buatnya untuk terus berusaha mencapai kejayaan.

Manakala Ayuni Aniqah Abu Had dari SK. Taman Muhibbah, pula berkata, kata-kata semangat yang diberikan oleh Dr. Ismail akan digenggam sebagai azimat sehingga cita-citanya untuk menjadi peguam tercapai.

Dia berharap agar pihak TNB dapat lagi mengadakan program seumpama ini di seluruh Malaysia kerana ia amat bermanfaat kepada murid-murid.

Saranan itu disokong oleh rakannya, Umar Azra’ie Zaidi yang mendapat banyak maklumat baru selepas mengikuti program itu.

"Kata-kata perangsang serta tayangan video yang dipertontonkan banyak memberi kesedaran dan saya akan berusaha lebih gigih untuk memenuhi impian saya serta ibu bapa," ujarnya.

Guru-guru pengiring yang turut serta dalam program ini amat berterima kasih atas inisiatif TNB menganjurkan program ini.

Mengikut seorang jurucakap, lawatan, perkemahan atau taklimat daripada pihak luar mampu membuka minda pelajar ke arah yang lebih kritis dan kreatif.

Sekolah atau pertubuhan luar yang ingin menganjurkan program seumpama ini bolehlah mengubungi talian 019-5713745 atau melayari www.tutor.com.my/motivasi untuk mendapat maklumat lanjut.

DAFTAR MASUK
Nama Pengguna :  
Kata Laluan :
IKLAN@TUTOR
Pakej Pembelajaran Online
Elab
Utusan Online
USIK-USIK
CARIAN